Jangan Beli Minyak Berjenama Dijual Murah Sampai Separuh Harga, Jahanam Enjin Kereta

Pernahkah anda ditipu ketika menukar minyak enjin kenderaan anda? Minyak enjin kitar semula menggunakan jenama terkenal atau lebih dikenali sebagai minyak ‘piau’ dikesan dijual secara berleluasa di bengkel kereta, lori serta motosikal di sekitar Lembah Klang pada harga hampir 50 peratus lebih murah.

Kebiasaan nya minyak hitam ini diperoleh daripada bengkel2 kenderaan yang memang menyediakan tong khas untuk mengisi minyak hitam terpakai untuk dilupuskan, lapor Harian Metro.

Minyak hitam terpakai itu dijual pada harga RM40 hingga RM80 untuk satu tong dram sebelum minyak tersebut disedut dan ditapis berulang kali menggunakan alat kimia khas hingga menjadi jernih kekuningan.

Minyak yang sudah dijernihkan semula itu kemudian di botolkan semula sebagai minyak baru menggunakan pelbagai jenama terkenal untuk dijual kepada pelanggan dengan potongan harga yang jauh berbeza dengan harga asal.

Bagi pengusaha bengkel atau peniaga pula kebanyakan mereka tahu minyak yang dijual adalah minyak kitar semula tetapi demi mengaut untung yang berlipat kali ganda mereka sengaja tidak memaklumkan kepada pelanggan.

Namun, aktiviti penjualan minyak hitam kitar semula itu sedikit terbantut apabila tiga premis yang menjual alat ganti kenderaan di ibu negara diserbu penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur, semalam, hasil risikan sejak beberapa bulan lalu.

Dalam serbuan yang dilakukan, 517 bekas 4 liter minyak enjin menggunakan jenama antarabangsa dirampas. Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Mohd Arshad berkata, selain minyak jitam, turut dirampas adalah 34 unit minyak gear dan 22 unit minyak brek tiruan.

Operasi itu dikatakan berjalan selepas menerima aduan pemilik jenama minyak berkenaan di negara ini yang mengesan aktiviti penjualan minyak tiruan itu kepada pelanggan.

“Bertindak atas aduan itu, KPDNKK Kuala Lumpur mewujudkan tiga pasukan bagi membuat pemeriksaan di tiga premis terletak di Taman Segar, Taman Daya dan Taman Melati bersama wakil jenama minyak itu di negara ini.

“Hasil pemeriksaan, kita menemui 517 bekas minyak hitam, 34 bekas minyak gear dan 22 bekas minyak brek tiruan yang dijual kepada pelanggan sebagai minyak asli,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Shahran juga berkata, hasil siasatan mendapati pemilik premis memperoleh bekalan daripada pembekal dan tahu bahawa ia adalah barangan tiruan namun tetap menjualnya bagi mengaut keuntungan mudah.

Mohd Shahran berkata, hasil siasatan mendapati pemilik premis memperoleh bekalan daripada pembekal dan tahu bahawa ia adalah barangan tiruan namun tetap menjualnya bagi mengaut keuntungan mudah.

Katanya, nilai keseluruhan minyak yang dirampas itu adalah sebanyak RM41,430.

“Semua barangan dirampas mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011. Jika sabit kesalahan dikenakan denda sebanyak RM15,000 bagi setiap unit barangan disita bagi syarikat manakala denda RM10,000 bagi setiap unit untuk perseorangan juga boleh dipenjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kami turut merampas dua salinan invois, lesen pihak berkuasa tempatan (PBT), dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta dokumen pesanan penghantaran,” katanya.

Formula campuran minyak sayuran

Boleh menjahanamkan enjin kenderaan. Itu kesimpulan dibuat pakar automobil terhadap penggunaan minyak pelincir tiruan yang dikesan tidak mempunyai daya untuk merendahkan suhu pada enjin.

Pemilihan dan penggunaan minyak hitam yang betul memainkan peranan penting bagi memastikan ketahanan enjin yang menjadi ‘jantung’ setiap kenderaan.

Pakar industri pemotoran Ahmad Salihin Abd Rahim berkata, secara umumnya, minyak pelincir di pasaran terbahagi kepada tiga kategori iaitu mineral, semi synthetic dan fully synthetic.

Menurutnya, ada beberapa cara minyak tiruan dihasilkan, malah dijual dengan harga sama seperti minyak tulen di pasaran.

“Cara yang paling senang dan digemari sindiket adalah dengan mencampurkan minyak pelincir tulen dengan minyak sayuran sebelum ia dipek semula menggunakan jenama asal.

“Cara kedua adalah dengan menapis minyak pelincir terpakai berulang kali sehingga ia kembali kelihatan jernih. Ia dijual sebagai jenama tiruan atau menggunakan jenama baru,”katanya ketika dihubungi wartawan NSTP semalam.

Menurut beliau, minyak pelincir berfungsi menggerakkan dan melicinkan geseran keluli di dalam enjin selain menyerap haba yang terhasil akibat geseran itu.

“Enjin kenderaan dibina menggunakan keluli atau logam. Justeru, apabila enjin dihidupkan, komponen dalam enjin akan bergerak dan bergesel antara satu sama lain. Ini akan menghasilkan percikan dan haba.

“Bagaimanapun, minyak pelincir tiruan tidak mampu menyerap haba yang dihasilkan. Disebabkan itu enjin kenderaan cepat panas. Geseran menjadi kasar dan haus dan akhirnya menyebabkan kepanasan melampau pada enjin,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *