Pemuda Umno Perlis desak pecat kakitangan anti-kerajaan

KANGAR – Pemuda Umno Perlis mendesak Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Azran Mohamad dipecat kerana didakwa berkongsi dan memuatnaik fitnah serta tohmahan terhadap pemimpin tertinggi negara.

Perbuatan itu dilakukan menerusi laman sosial Facebook peribadi Azran.

Ketuanya, Syed Atif Syed Abu Bakar berkata, tindakan Azran sebagai pegawai kanan di JPN menunjukkan sikap seperti orang tidak terdidik kerana berkongsi fitnah dan penghinaan.

“Tiada nilai-nilai pendidikan dan kemanusian yang baik dapat kita harapkan daripadanya (Azean).

“Beliau harus dipecat sebagai kakitangan kerajaan jika terbukti bertanggungjawab ke atas fitnah dan tohmahan yang dikongsi dalam laman sosial,” katanya, selepas membuat dua laporan polis di Balai Polis Kangar, di sini, hari ini.

Salah satu daripada laporan itu dibuat oleh Majlis Belia Perlis bagi menyiasat dan mengambil tindakan terhadap laporan tersebut.

Menurut Syed Atif, isu kakitangan kerajaan anti-kerajaan bukanlah perkara yang baru.

“Tindakan kakitangan kerajaan yang berbuat demikian menghina majikan mereka sudah berulang kali dilaporkan.

“Namun begitu, tidak ada satu tindakan drastik yang mampu mendisiplinkan kakitangan kerajaan agar lebih beradab dalam menjaga hubungan baik dengan majikan,” katanya.

Sehubungan itu, pemuda Umno mencadangan agar kerajaan mempermudahkan proses pemecatan kakitangan kerajaan yang anti-kerajaan.

“Tindakan ini akan membuka peluang pekerjaan kepada generasi muda yang lebih komited dan energetik dalam menyempurnakan tugasan mereka.

“Ia juga dapat mewujudkan generasi baru dan kakitangan awam lebih menghargai peluang dan kepercayaan yang diberikan sekaligus meningkatkan imej dan kualiti sistem penyampaian kerajaan,”katanya.

Syed Atif berkata, kakitangan kerajaan yang tidak berdisiplin dan tidak beradab ini bilangannnya mungkin tidak begitu ramai.

“Jika perkara ini dibiarkan berlanjutan, ia akan menjadi kebiasaan dalam kalangan kakitangan kerajaan untuk memburukkan imej majikan mereka,”katanya.

Sumber: SinarHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *