Pukul Sampai Terkencing,Akhirnya Jiran Mangsa Buka Mulut Dedah Kisah Sebenar

“LAMA-lama nanti aku mati kena bunuh,” itu antara luahan Aina Nabihah Muhammad Abdullah, 9, kepada rakannya.

Aina Nabihah adalah kanak-kanak yang maut dipercayai akibat didera bapa kandung dan ibu tirinya di rumah keluarganya di Taman Vista Jaya, Lukut, malam tadi.

Seorang jiran yang enggan dikenali mendakwa, anaknya yang juga rakan mangsa, mendedahkan kanak-kanak itu kerap mengadu didera bapanya sebelum ini.

“Dia beritahu anak saya, selalu kena pukul malah pernah dibaling kerusi oleh bapanya itu sehingga kerusi itu patah dan dia cedera. Dia juga beritahu kalau keadaan berterusan, dia boleh mati,” katanya ketika ditemui di kawasan perumahan itu di sini, hari ini.

Harian Metro hari ini melaporkan mangsa meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), 12.30 tengah malam.

Bedah siasat mendapati kanak-kanak terbabit cedera pada buah pinggang, selain usus terkoyak dan patah tulang rusuk, dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.

Sementara itu, seorang jiran lain, mendakwa kanak-kanak itu beberapa kali dilihat lebam pada muka, terutama pada bahagian mata.

“Mangsa agak pendiam dan jarang keluar rumah tetapi semua orang di sini tahu dia adalah kanak-kanak yang baik. Apabila saya bertanya mengenai kecederaan sebelum ini, dia memberi alasan terjatuh daripada basikal.

“Kami juga kerap mendengar suara bapanya marah-marah di dalam rumah itu dan disusuli bunyi seperti pukulan. Bapanya memang garang, tetapi mempunyai hubungan baik dengan jiran dan pernah memberitahu tidak sentuh anak-anak ketika marah,” katanya.

Jiran berkenaan turut berkata, tidak pernah mendengar kanak-kanak itu bercerita perkara buruk mengenai bapanya yang juga seorang anggota tentera berpangkat sarjan.

Ditanya mengenai kejadian malam tadi, dia berkata, mereka tidak menyedari bunyi mencurigakan, namun mengakui mendengar suara bapanya marah dengan kuat dari dalam rumah itu pada tengah hari, Ahad lalu.

Allahurabbi…dia dipukul sampai terkencing! Tak tahulah macam mana tahap derita Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah, 9, rupanya bangku dan tali pinggang juga antara barang yang dipercayai digunakan suspek untuk memukul arwah sehingga meninggal dunia, semalam.

Kalau anda ikuti kes ini, memang timbul rasa nak marah dengan apa yang berlaku. Apa lagi bila tahu si kecil itu cuba bertahan walau sudah lama dipukul.

Barang yang digunakan untuk dera anak itu ditemui polis selepas suspek berusia 35 tahun dan isterinya, 34, yang juga ibu tiri mangsa dibawa ke kediaman mereka di Taman Vista Jaya, Lukut, Port Dickson untuk membantu siasatan kes pembunuhan mangsa.

Pasangan terbabit dibawa ke lokasi berkenaan sejurus polis mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Port Dickson, kira-kira 12 tengah hari.

Mereka yang memakai baju lokap jingga dengan tangan bergari dibawa anggota polis masuk ke dalam rumah itu secara berasingan bagi menunjukkan lokasi dan barangan yang digunakan untuk mendera mangsa.

Pukul Sampai Terkencing

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad berkata, berdasarkan pengakuan awal, suspek mendakwa memukul mangsa menggunakan tali pinggang, pada malam kejadian.

“Suspek juga mengaku menendang dan memijak mangsa sehingga terkencing sebelum mangsa tidak sedarkan diri di dalam biliknya pada 11.30 malam. Suspek kemudian membawa mangsa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban dan disahkan meninggal dunia, sejam kemudian.

“Suspek turut membuat pengakuan pernah memukul mangsa menggunakan bangku plastik sebelum ini. Berikutan itu, polis merampas bangku itu yang sudah patah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nenek tak percaya cucu mati didera bapa kandung

Nenek Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah, kanak-kanak perempuan  berusia sembilan tahun, tidak mempercayai cucunya itu meninggal dunia disebabkan menjadi mangsa dera bapa kandungnya.

Jara Bibi Sultan Mohammad, 70, berkata, walaupun anak lelakinya seorang yang tegas tetapi dia mempunyai sifat berperikemanusiaan.

“Dia tegas, tegas dia hanya untuk mendidik tapi tidaklah sampai pukul patah riuk macam dalam berita disiarkan.

“Kalau merotan untuk mengajar memang ada, dia (bapa mangsa) seorang askar jadi dia memang  tegas tapi tidaklah sampai tergamak mendera anaknya sehingga meninggal,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di sini semalam.

Terdahulu, Majistret Siti Khairiah Abdul Razak membenarkan suami isteri itu direman tujuh hari sehingga 8 Februari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *